Sunday, April 8, 2007

PENINGKATAN JENAYAH KL MEMBIMBANGKAN

Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) berasa amat khuatir terhadap pendedahan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd. Johari Baharom dalam akhbar Utusan Malaysia pada 8 April 2007 semalam berhubung dengan peningkatan sebanyak 40% Indeks Jenayah di Kuala Lumpur.

Indeks ini dicatatkan bagi suku tahun pertama tahun 2007 berbanding dengan jumlah yang dinyatakan tahun lepas.

Merujuk kepada Indeks Jenayah yang dimuatkan dalam laman web rasmi Polis DiRaja Malaysia pula, didapati jumlah kes jenayah diseluruh Negara meningkat dalam 2 tahun kebelakangan ini.

Kes Jenayah Harta Benda yang dilaporkan pada tahun 2005 hanyalah 138,095 kes dan ianya meningkat kepada 156,279 kes pada tahun 2006. Kes yang melibatkan Jenayah Kekerasan pula meningkat dari 33,509 kes pada tahun 2005 kepada 42,343 kes pada tahun 2006. Bagi kes Jenayah Komersial ianya turut meningkat dari 6,029 kes pada tahun 2005 kepada 7,300 kes pada tahun 2006. Hanya kes Jenayah Narkotik sahaja yang mengalami sedikit penurunan, iaitu dari 20,384 kes pada tahun 2005 kepada 19, 914 kes pada tahun 2006. Ini adalah rekod bagi tahun 2005-2006, bagaimana tahun 2007?

Secara keseluruhan DPPKT melihat bahawa Malaysia kini semakin trauma terhadap angka-angka yang dilaporkan. Rakyat Malaysia khususnya yang berada di Kuala Lumpur berasa tidak selamat.

Sentul yang kini sedang pesat membangun dengan projek mega, Sentul West dan Sentul East telah menjadi pusat tumpuan peragut. Keadaan ini sekaligus menunjukan bahawa keadaan dan keselamatan penduduk semakin diancam.

DPPKT tidak bermaksud ingin menakut-nakutkan penduduk tetapi satu tindakan bersepadu perlu dilakukan bagi menangani masalah ini.

Kita tidak boleh membebankan tanggungjawab menjaga keselamatan awam ini kepada pihak Polis sahaja. Rakyat, khususnya yang berada di Kuala Lumpur perlu bersikap sensitif terhadap isu ini.

Rukun Tetangga dan pasukan sukrelawan bagi membuat kawalan disekitar kawasan kediaman dan pangsapuri penduduk perlu diwujudkan atau diaktifkan semula. Kempen memerangi jenayah perlu diperkuatkan dengan mengadakan ceramah-ceramah menangani isu keselamatan awam.

Tindakan Polis Kuala Lumpur melancarkan program Rakan Cop sebelum ini amat memberansangkan cuma ianya perlulah diaktifkan dan dilakukan secara meluas khususnya bagi kawasan kediaman disekitar pangsapuri yang ramai penduduk.

Pondok-pondok Polis juga perlulah diletakan di kawasan strategik bagi memudahkan orang awam membuat aduan dan rujukan. Kerjasama penduduk dan Polis amatlah penting bagi kita memastikan gejala jenayah yang berlaku dapat dikurangkan.

Para ibubapa perlulah memerhatikan anak-anak mereka dan selalu menasihati anak-anak mereka agar mereka tidak terlibat dalam mana-mana aktiviti jenayah atau mejadi mangsa jenayah seperti rogol dan ragut.

DPPKT dan PAS Wilayah Persekutuan bersedia dan akan turun bersama masyarakat bagi membasmi jenayah. DPPKT membuka pintu kepada mana-mana pihak yang ingin bergandingan bagi membanteras jenayah. Bersama-samalah kita berjuang bagi memastikan kawasan kediaman dan bandaraya kita ini bebas dari sebarang aktiviti Jenayah.

Bandaraya Kita, Tanggungjawab Kita!

Herman Samsudeen
Ketua
Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa

Imarahkan Masjid Untuk Membendung Jenayah

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) tertarik dengan berita yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 3 April 2007 yang Lalu. Berita bertajuk ” Masjid diceroboh, al-Quran dibakar” dilaporkan berlaku di Masjid Jamek Al-Insaniah Simpang Ampat, Pulau Pinang.

DPPWP mengutuk tindakan tidak bertamadun mereka-mereka yang melakukan perkara ini. Seperti yang dilaporkan, dalam kejadian itu tabung-tabung Masjid didapati bersepah, cermin pintu Masjid pecah dibaling batu, 7 helai ayat surah Al-Baqarah juga telah dibakar dan Masjid ini juga hampir-hampir terbakar kerana didapati beberapa bahagian bidai tingkap, permaidani sertai wayar elektrik didapati musnah kerana perbuatan khianat.

DPPWP melihat bahawa tindakan ini adalah satu jenayah yang harus disiasat oleh pihak Polis dengan segera bagi mengelakan salah faham atau tuduh menuduh kerana ianya melibatkan pembakaran al-Quran. Ada yang mengatakan bahawa itu adalah tindakan pencuri yang marah kerana mendapati tabung-tabung Masjid telah dikosongkan lebih awal bagi mengelakkan dicuri sekali lagi.

Ada juga pihak beranggapan bahawa tindakan ini adalah satu provokasi dari pihak-pihak yang bencikan Islam kerana kejadian membakar al-Quran dilihat begitu serius seperti satu amaran kepada umat Islam. Kumpulan Black Metal juga turut dituduh kerana didapati kumpulan ini didapati masih beroperasi di sekitar negeri Pulau Pinang dan Kedah.

Apa jua andaiannya yang dibuat hanya Allah yang tahu dan DPPWP mengesa agar pihak Polis mengambil serius dalam menyiasat perkara ini agar ianya tidak berulang, bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi diseluruh negara.

DPPWP juga menasihatkan agar Jawatankuasa Masjid-masjid diseluruh negara mengambil pengajaran disebalik kejadian ini. Masjid-masjid dan surau-surau perlulah diimmarahkan secara lebih aktif lagi. Kita sedia maklum bahawa Masjid adalah “Rumah Allah” dan kita harus menjaganya secara bersama.

Tindakan mengunci pintu Masjid dan Surau selepas Solat Isyak tidak menjamin keselamatan premis ini sepenuhnya. Pihak Jawatankuasa perlu kreatif untuk memastikan Masjid dan Surau mereka ini dapat melakukan program-program lain selain dari bersolat sahaja.

Di zaman Rasulullah, Masjid dijadikan tempat sahabat-sahabat berkumpul, melakukan interaksi, beribadat, menimba ilmu, bermesyuarat dan merancang urusan negara.

Oleh itu, DPPWP melihat bahawa fungsi Masjid pada hari ini telah lari dari amalan kebiasaan Rasulullah. Kita lebih suka menjadikan Masjid sebagai tempat untuk bersolat 5 waktu sahaja dan lebih malang lagi, ada kalangan umat Islam yang tidak bertanggungjawab menjadikan Masjid sebagai tempat singgahan bagi membuang hajat kerana tidak dikenakan sebarang bayaran.

DPPWP mengesa agar fungsi Masjid ini diperkemaskan dengan menjadikannya pusat pendidikan masyarakat melalui kuliah dan pengajian al-quran yang boleh dibuat selepas waktu Isyak. Tuisyen-tuisyen juga boleh dibuat di Masjid bagi anak-anak kariah. Selain itu, program Qiamullail boleh dilakukan secara kerap bagi memastikan Masjid dapat dihidupkan pada waktu Malam.

Program-program tradisi seperti bacaan surah Yaasin pada malam Jumaat baik diteruskan dan pada malam-malam lain kariah juga boleh mengadakan kuliah maghrib atau program bacaan surah-surah al-Quran yang lain. Program tadarus dan kelas al-Quran juga wajar diadakan setiap hari bagi menghidupkan Masjid yang ada.

Semoga umat Islam hari sedar betapa besar peranan yang perlu kita main bagi menjaga agama dan amanah yang diberi. Masjid yang besar dan gah tidak akan diberkati oleh Allah kiranya kita tidak menghidupkannya dengan amalan-amalan yang banyak dan bermanfaat. Dan satu pembaziran jika Masjid-masjid yang ada tidak digunakan sepenuhnya.


Kamaruzzaman Mohamad
Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

ISU PEMECATAN MUFTI PERAK SELESAI SECARA BAIK

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan Alhamdulilah dan syabas kepada seluruh umat Islam kerana kemenangan yang diberikan oleh Allah terhadap Isu Pemecatan Mufti Perak.

Tindakan YB. Datuk Dr Tan Kee Kwong memohon maaf secara terbuka adalah bukti bahawa jika umat Islam bersatu dan bangkit mempertahankan hak dan kepercayaan, maka tiada siapa yang berani menghina serta memperlekehkan umat Islam.

DPPWP berharap agar kejadian ini menjadi satu pengajaran kepada semua pihak agar terus menghormati hak dan kepentingan semua pihak.

Penyelesaian sebegini adalah positif dan memberikan impak yang berganda kepada semua pihak. Tindakan Parti Gerakan dan YB. Tan dalam menyelesaikan masalah ini dengan segera amatlah bertepatan dengan kehendak semua pihak dan DPPWP akan meneruskan misi bagi membina hubungan yang baik bersama Parti Gerakan dan seluruh organisasi politik dan NGO yang ada.

DPPWP tidak berminat untuk bermusuh dengan mana-mana pihak. Bukanlah dasar PAS untuk menjadi kumpulan ekstrimis atau cauvinis. PAS lebih suka memilih jalan perundingan dan demontrasi adalah pilihan jika perundingan dianggap kurang menyengat.

Tindakan Demontrasi pada Jumaat lalu bukanlah propaganda DPPWP untuk menakutkan rakyat tetapi sebagai satu perhimpunan umat bagi menyatakan hasrat rakyat yang beragama Islam yang cintakan kedamaian dan keharmonian. Setiap bangsa dan agama mempunyai budaya dan kepercayaan yang harus dihormati semua pihak.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita semua memahami batas-batas yang ada dan saling hormat menghormati.



Kamaruzaman Mohammad
Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Wednesday, April 4, 2007

APRIL FOOL SEMPENA MAULIDUR RASUL: MUFTI TERUS DIHINA OLEH GERAKAN

Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) merasa amat kecewa dengan tindakan biadap Parti Gerakan Rakyat Malaysia Wilayah Persekutuan yang meluluskan resolusi bagi memecat Mufti Negeri Perak, ekoran dari penyebaran SMS berhubung isu murtad pelayar solo, Dato' Azhar Mansor..

Tindakan ini amat keterlaluan kerana sehingga ke hari ini belum ada satu kepastian atau tindakan undang-undang yang mensabitkan kesalahan tersebut kepada Dato Seri Harusani Zakaria. Sesuatu yang diluar tabie bila mana Parti Gerakan meluluskan resolusi tersebut sedangkan orang yang tertuduh masih tidak dapat dibuktikan kesalahannya oleh pihak berkuasa.

Perkara kedua yang DPPKT ingin bangkitkan adalah tentang sikap kurang ajar dan suka menyibuk Parti Gerakan terhadap urusan umat Islam. Umum mengetahui bahawa urusan melantik dan memecat Mufti adalah dibawah bidang kuasa Sultan dengan nasihat para Ulama' dan pakar-pakar agama yang menjadi penasihat Sultan.

Parti Gerakan adalah Parti yang disertai oleh majoriti mereka yang bukan Islam dan tidak layak untuk menasihati Sultan dalam hal ini. Resolusi tersebut diluluskan bagi membalas dendam dan cuba untuk meruntuhkan hak istimewa orang Melayu dan umat Islam.

Tindakan berniat jahat dan cuba menghasut masyarakat AGAR membenci institusi Mufti dan ulama' ini telah dirancang dengan rapi setelah kegagalan mereka menarik penyertaan Mufti dan Ulama' dalam Majlis Perundingan Antara Agama (IFC).

Tindakan ini juga telah mengkhianati perpaduan dan rasa hormat yang dipupuk kalangan rakyat berbilang bangsa selama ini. PAS menghormati kepercayaan semua agama tetapi itu bukan bermakna mereka boleh meminta untuk masuk campur atau menjadi batu api bagi melaga-laga umat Islam dengan masyarakat lain.

Parti Gerakan perlu meminta maaf secara terbuka dan menarik balik resolusi ini atau mereka terpaksa berhadapan dengan kutukan dan kebencian dari seluruh umat Islam yang merasa marah dengan sikap kurang ajar mereka ini.

DPPKT melihat bahawa Parti Gerakan sengaja meluluskan resolusi ini pada 1 April 2007 dalam konvensyen mereka yang dianggap sebagai hari april fool untuk mereka mempersendakan Islam dinegara ini. Selain itu, mereka sengaja memilih tarikh ini memandangkan pada 31 Mac 2007 sehari sebelum itu adalah hari memperingati ulang tahun kelahiran Rasulullah s.a.w. Dan ini juga adalah satu penghinaan kepada seluruh umat Islam kerana kita tahu bahawa Mufti adalah cerminan dan pewaris perjuangan Rasululah.

Mereka sengaja mencari alasan untuk mewujudkan rasa kebencian dalam diri seluruh rakyat Negara ini terhadap Mufti, khususnya kepada Mufti Negeri Perak yang dilihat lantang bersuara dalam kebanyakkan isu yang berkaitan dengan murtad dan gejala maksiat. Kita juga maklum bahawa ini adalah salah satu rangkaian serangan saraf yang dimainkan setelah beberapa cubaan untuk menjatuhkan Mufti Perak sebelum ini menemui jalan buntu. Mereka mahu menutup mulut Mufti dari terus bersuara, tetapi mereka lupa bahawa akan ada lebih ramai lagi Mufti dan umat Islam yang akan tampil kehadapan bagi mendaulatkan Islam dinegara ini.

DPPKT menyambut cadangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan untuk mengadakan Demontrasi membantah tindakan kotor Parti Gerakan ini. Seharusnya bukan sahaja Demontrasi tetapi satu Laporan Polis perlu dibuat bagi memastikan pemimpin-pemimpin Parti Gerakan disiasat kerana tindakan mereka ini telah menimbulkan unsur-unsur hasutan yang cuba merosakan perpaduan antara Kaum.

DPPKT juga mencabar Pemuda UMNO untuk turut hadir dalam demontrasi ini dan menghunuskan keris mereka kepada Parti Gerakan sebagai tanda amaran agar mereka membatalkan resolusi tersebut.

Tapi, menjadi tanda tanya bagi seluruh rakyat. Adakah Pemuda UMNO berani untuk berdemontrasi? Dah banyak kali Pemuda PAS mengajak mereka turun bagi memperjuangkan isu-isu umat Islam, tetapi mereka enggan kerana ingin menjaga sokongan bukan Melayu.

Selama ini mereka banyak tunduk, malah adalah kalangan mereka yang menyokong kumpulan IFC dan Parti Gerakan bagi menjatuhkan Mufti. Mereka mengupas segala kenyataan Mufti dan mempelekehkannya dengan akal tohor mereka bagi mengampu undi dari mereka yang bukan beragama Islam.

Pemimpin UMNO tidak berani menegur kerana mereka takut BN pecah belah dan untuk itu mereka rela menjadi manusia bacul yang tidak bermaruah. Mereka selalu mengatakan bahawa isu sebegini adalah isu terpencil kerana melibatkan seorang individu. Hakikatnya, persoalan yang bermain dikotak pemikiran umat Islam kini bukanlah tentang kedudukan Dato Seri Harusani Zakaria sahaja, tapi maruah dan intergriti institusi Mufti dan Kesultaanan Melayu yang memayungi agama Islam dinegara ini.

Ini bukan perkara remeh. Ianya soal kelangsungan sebuah generasi yang beragama dan Mufti adalah sebahagian dari diri umat Islam itu sendiri.

Sekali lagi DPPKT menegaskan agar Parti Gerakan mendengar bantahan yang dikemukakan dan menarik balik resolusi berkenaan sebelum segalanya dikerandakan bersama ideologi mereka sebagai kenangan kejahilan dan kebiadapan mereka.


Suhaimi Abdul Aziz
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa

ANAK-ANAK PELACUR CHOW KIT PERLUKAN PEMBELAAN

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) berasa amat terharu dan simpati pada nasib yang menimpa anak-anak pelacur dan penagih dadah yang terpaksa berhidup malang dipersekitaran Jalan Chow Kit dan Jalan Haji Taib. Di tengah-tengah paksi metropolitan yang kian memacu laju aksi pembangunan materialistiknya, anak-anak malang ini terus terhimpit dan diabaikan oleh masyarakat yang sentiasa memandang jijik pada profesion ibu bapa mereka.

Laporan Majalah Wanita edisi April 2007 berkaitan nasib anak-anak dilorong gelap berkenaan benar-benar meledakan satu kesedaran yang harus dikongsikan kepada semua rakyat.

DPPWP mengucapkan syabas kepada Puan Afidar Abdul Latif dan suaminya, Raja Azizan Suhaimi Raja Abdul Latif yang tidak pernah kenal jemu bagi menguruskan dan menyelia Pusat Aktiviti Kanak-kanak (PAKK) di Chow Kit.

Masyarakat seharusnya membuka ruang pemikiran bagi melihat secara positif akan masa depan anak-anak ini. Dan kita semua bertanggungjawab bagi membebaskan mereka dari belenggu keterpaksaan yang penuh dengan tohmahan dan penghinaan ini.

Kebanyakkan anak-anak ini tidak terjaga, khususnya ketika ibu-ibu mereka sibuk melayan nafsu buas pelanggan-pelanggan mereka. Kerana ingin mencari sedikit kesenangan mereka telah bergadai tubuh dan membelakangkan soal maruah dan dosa. Mereka gagal membuat pilihan hidup yang baik, dan ini sekaligus telah turut menjerumuskan anak-anak mereka dalam dunia gelap yang tidak punyai masa depan ini.

DPPWP khuatir jika keadaan ini dibiarkan maka industri pelacuran akan terus berkembang dinegara ini. Menurut laporan UNICEF, seramai 1.2 juta kanak-kanak telah diperdagangkan diseluruh dunia, khususnya bagi industri gelap ini. Dianggarkan, seramai 400,000 orang wanita telah dibawa keluar dari Asia Tenggara bagi memenuhi permintaan diseluruh dunia setiap tahun. Dan Malaysia adalah Negara transit yang paling popular sebelum wanita-wanita ini dieksport ke Negara-negara Timur Tengah, Amerika dan Eropah.

Berasaskan laporan ini, Kerajaan Malaysia seharusnya melakukan sesuatu. Sesuatu perlu dilakukan bagi membantu anak-anak malang yang menghuni Jalan Chow Kit dan Jalan Haji Taib ini agar mereka tidak mewarisi kerjaya ibu bapa mereka.

Dianggarkan lebih dari 100 orang kanak-kanak ini berada di PAKK di Jalan Chow Kit ini. Namun kemampuan pusat ini adalah terhad. Mereka tidak punyai dana yang kukuh memandangkan kebanyakkan ahli masyarakat enggan membantu mereka dalam membela anak-anak malang ini.

DPPWP mengesa agar pihak Kerajaan, termasuklah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, DBKL, JAKIM dan JAWI mengambil peranan yang aktif bagi membantu mereka.

Ada kalangan anak-anak ini belum mempunyai kad pengenalan dan tidak pernah bersekolah. Justeru itu, satu tindakan segera perlu dilakukan bagi memberikan peluang pendidikan dan kehidupan yang lebih bermakna kepada mereka.

Adalah lebih baik agar anak-anak ini dijaga oleh Jabatan Kebajikan masyarakat dan dalam masa yang sama ibu bapa mereka diberikan bantuan bagi menjalani proses pemulihan di pusat-pusat sosial Negara.

Kita sedar bahawa ada kalangan mereka yang terpaksa dan terlalu lama terjebak dalam dunia maksiat ini. Mereka enggan berhenti kerana diugut ole bapak-bapak ayam yang menjaga mereka atau takut kehilangan punca pendapatan. Namun kita tidak boleh ambil sikap pukul rata dan menyalahkan serta membiarkan mereka begitu sahaja. Bimbingan yang telus perlu diberikan beserta sokongan agar mereka dapat membebaskan diri mereka dari dunia gelap ini.

DPPWP sedia menghulurkan tangan bagi membantu anak-anak malang ini dan keluarga mereka. InsyaAllah DPPWP akan mengaturkan pertemuan dengan pihak PAKK bagi melihat bentuk-bentuk sumbangan yang boleh dihulurkan. Dan DPPWP mengajak agar lebih ramai ahli masyarakat dapat bersama menyelami masalah mereka sekaligus membantu mereka kerana itu lebih baik dari terus mencemuh mereka.


Herman Samsudeen

Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan