Friday, March 16, 2007

PAS WILAYAH BANGKIT DI TITIWANGSA!

Oleh WAN NIK YUSOF NGAH
Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat

POLITIK Malaysia berteraskan demokrasi berpilihan raya yang memakai sistem first past the post, iaitu mana-mana parti atau gabungan parti yang mendapat majoriti kerusi maka parti itu akan berkuasa dan membentuk kerajaan.

Sementara mana-mana calon yang mendapat majoriti maka calon itu akan diisytiharkan pemenang bagi kerusi yang ditandinginya. Ini bermakna proses pembentukan kerajaan hendaklah bermula dengan peranan parti mempastikan kemenangan majoriti calonnya di DUN atau Parlimen bagi menjamin ke arah menguasai Kerajaan Negeri atau Pusat.

Sehingga kini negara telah melalui 11 kali pilihan raya. Kesemua pilihan raya itu didominasi sepenuhya oleh BN, kecuali diperingkat Negeri Kelantan, Terengganu dan Sabah.

Bagi Wilayah Persekutuan tidak pernah PAS berpeluang memenangi sebarang kerusi. Hal ini menjadi satu cabaran hebat bagi PAS untuk bangkit menjadi dominan atau memenangi kerusi yag ditandingi.

Pilihan raya ke 11 (2004) lalu menyaksikan PAS Wilayah Persekutuan bertanding ditiga (daripada 13) parlimen; Setiawangsa, Titiwangsa dan Labuan. Namun, PAS belum memenangi sebarang kerusi. Demikian halnya dengan pilihan raya ke 10 (1999) sebelumnya, PAS telah bertanding di satu (daripada 10) parlimen; Titiwangsa dan tewas tipis di kerusi berkenaan.

Bagi Parlimen Titiwangsa, PAS hanya memperolehi undi popular sekitar 47.88 peratus (PRU 1999) dan merosot sebayak 15.26 peratus kepada 32.63 peratus (PRU 2004). Prestasi PAS di Titiwangsa boleh dijadikan asas mengukur pengaruh politik PAS dalam orientasi pengundi bandar. Hal ini meletakkan satu dilemma bagi PAS Wilayah untuk meraih kemenangan dalam pilihan raya umum ke 12 nanti.

Kawasan Wilayah melibatkan tiga region: Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Jumlah parlimennya ialah 11 di Kuala Lumpur dan masing-masing satu di Labuan dan Putrajaya. Komposisi pengundinya adalah majoriti Cina di Kuala Lumpur dan Melayu di Labuan dan Putrajaya. Budaya politik Cina adalah agak kontroversi setiap kali pilihan raya.

Gaya hidup bandar dan politik moden lebih menguasai sikap pengundi. Aktiviti ekonomi bandar (economic orientation) merupakan sensitiviti tertinggi dalam mempastikan pengaruh parti atau pemimpin politik supaya lebih terserlah.

Faktor politik sering dikaitkan dengan kestabilan dan faktor ekonomi. Oleh sebab itu, parti politik hendaklah sentiasa mengagendakan misi ekonomi politik dalam usaha mendapat kepercayaan dan sokongan pengundi bandar.

Nilai kepentingan materialistik dan individulistik sering menjadi pertimbangan pengundi untuk bernaung di bawah mana-mana parti atau pemimpin politik. Oleh sebab itu, nilai-nilai ini hendaklah dijadikan asas bagi mengukur keupayaan pihak parti atau pemimpin politik itu dari segi sejauh mana sifat mesra dengan ukuran kebendaan dan keegoan penghuni bandar.

Kesejahteraan dan keselesaan (comlecency) merupakan aspek psiko-sosial yang sering menjadi isu – kesesakan lalulintas, pencemaran alam sekitar, prasarana dhaif, kemudahan awam yang teruk (air, elektrik, perparitan, teksi, bas dll), perumahan setinggan adalah unsur-unsur nagetif yang sering dipersoal dan menjejaskan kredibiliti pihak berkuasa.

Lantaran itu, mana-mana parti politik atau individu atau NGO yang mampu menjuarai penghuni bandar, maka pihak berkenaan dianggap popular. Oleh sebab itu, medan pilihan raya Wilayah adalah menuntut keagresifan parti dan pemimpin politik bagi menjuarai isu-isu yang melibatkan kepentingan penghuni bandar.

Dalam konteks perjuangan PAS kini, perancangan dan pengurusan pilihan raya ialah usaha kepimpinan bersama ahli-ahlinya (petugas parti) secara bersepadu melaksanakan program dalaman dan luaran bagi menghadapi pihak BN.

Kejayaan kesemua program dalaman dan luaran, adalah diyakini PAS akan mencapai matlamat utama iaitu “kemenangan dalam memartabatkan perjuangan Islam demi mencapai keredhaan Allah”.

Strategi kempen terhadap pengundi mestilah digiatkan. Matlamatnya ialah untuk meguasai dan mempastikan para pengundi atas pagar yang duluya mengundi BN akan mengundi PAS dalam pilihan raya akan datang.

Terdapat tiga strategi kempen yang mesti diutamakan iaitu menggiatkan usaha kempen terhadap pengundi Melayu “atas pagar”, menggiatkan usaha kempen terhadap non-muslim dan menggiatkan usaha kempen terhadap golongan wanita.

Pendekatan kempen hendaklah melibatkan pendekatan bersepadu yang merangkumi penerangan, psi-war, NGO dan menemui pengundi dari pintu ke pintu, pejabat ke pejabat dan dari premis ke premis perniagaan.

Pasukan kempen hendaklah dilatih menguasai sikap pengundi dan isu-isu bandar bagi mempastikan keberkesanannya.

Haji Wan Nik Yusuf Ngah adalah Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat dan mantan Ahli Parlimen Bachok, Kelantan.

No comments: